Sunday, May 20, 2012

Selamat Hari Guru


3 hari yang lepas, ku bersama-sama sahabat guru meraikan hari yang berbahagia dalam hidup kami sebagai seorang guru. Memang kehidupan seorang guru ini ada cabarannya yang tersendiri. Hanya guru sahaja yang memahami hidup sebagai seorang guru.

Kadang-kadang kita ada terbaca di mana-mana berkaitan komen-komen, kritikan, tuduhan dan sebagainya terhadap guru. Cubalah teliti dahulu siapakah mereka ini, adakah seorang guru jua. Sepemerhatian saya, semua itu adalah komen daripada orang luar yang tidak terlibat dalam profesion perguruan. Bagi saya, orang-orang seumpama ini perlu diberi ruang kepadanya untuk menjadi guru walau dalam tempoh masa yang sekejap. Sebagai contohnya dalam masa sebulan ke, agar mereka ini lebih memahami kerjaya seorang guru dan pada masa yang sama jikalau mereka ini juga adalah ibu bapa, maka mereka boleh memain peranan yang terbaik semasa berada di rumah. Kebanyakkan ibu bapa menyerahkan sepenuhnya peranan mendidik anak-anak mereka kepada guru-guru dan pihak sekolah. Cuba bayangkan berapa bilangankah pelajar di sekolah berbanding guru-guru. Dikalangan pelajar ini pula punyai pelbagai ragam manusia.  Ada yang suka ponteng kelas, bergaduh, merosakkan harta benda sekolah, tak suka belajar, buat kacau bising dalam kelas, kerja sekolah gagal disiapkan dan lain-lain lagi, semuanya itu men’tension’kan guru di sekolah. Alangkah baiknya kalau semua pelajar macam robot, boleh dikawal tuturbicaranya, kelakuannya, semua focus untuk belajar. Tugas guru masuk kelas, mengajar dan keluar kelas. Di samping itu juga, guru pun boleh focus kepada pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya tanpa memikirkan perkara-perkara yang lain.
Bila terkenang kembali masa yang lalu, ku dulu adalah seorang pelajar dan di hadapanku adalah seorang guru. Masa terus berlalu dan kini ku telahpun bergelar sebagai seorang guru juga. Memang banyak jasa yang telah ditaburkan oleh guruku kepadaku. Ku hargai sangat-sangat. Setiap wajah guru-guruku sentiasa menari-nari dalam ingatan. Merekalah yang menjadi mentorku dalam mendidik anak bangsa ini. Segala ilmu yang kuperolehi, akan ku abadikan dan persembahkan kepada masyarakat untuk manfaat sejagat.

Terima Kasih guru…

Di sini ku ungkilkan nukilan dari Sasterawan Negara

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Saturday, May 19, 2012

Ibu


Sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat terbaru ini menyambut hari ibu pada minggu ke-2 bulan Mei setiap tahun. Dengan keadaan iklan yang diwarwarkan di mana-mana, sama ada di media massa dan media elektronik, memeriahkan lagi suasana hari ibu. Walaubagaimanapun, kita sebagai seorang muslim, janganlah menyambut hari ibu ini untuk setahun sekali ini sahaja, tetapi hari ibu kita adalah sepanjang tahun. Itulah sepatutnya.

Ibu, betapa besar dan banyaknya jasamu kepada kami
Tanpa engkau, tidak mungkin kami ini akan dilahirkan
Enkaulah perantara ketentuan Ilahi
Dari rahimmulah, kami dibesarkan
Bermulanya kami ini setitik benih
Kemudian beransur-ansur menjadi seketul darah
Membentuk daging dan tulang temulang ini

Di Rahim inilah kami dibekalkan dengan segala nutrient makanan yang diperlukan
Semua itu datangnya daripada dikau wahai ibu
Jika dulu engkau dapat menikmati makanan seenaknya
Tetapi kini setelah kami berada dalam dirimu, semuanya berubah
Engkau menjadi tersangat lapar walaupun baru sahaja menikmati santapanmu
Engkau kadang-kadang tersentak dari lamunan tidurmu
Dek kerana gangguan kami yang menendang-nendang perutmu
Engkau kadang-kadang terbeban setiap masa, memikul kami ini ke mana-mana
Engkau merasa cepat penat, letih, berpeluh-peluh kerana kami di sisi
Sembilan bulan engkau tanggung
Pada saat kelahiran kami, pelbagai penderitaan yang engkau terpaksa hadapi
Sehingga tidak termampu untuk diungkapkan melalui kata-kata
Hanya tuhan sahajalah yang tahu, penderitaan dikau.

Terima kasih ibuku…

Friday, May 11, 2012

Al-Kisah..


Seorang lelaki muda bangun di awal pagi utk solat subuh di masjid. Dia berpakaian, berwudu' dan berjalan menuju masjid. Di tengah jalan lelaki itu jatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit, membersihkan bajunya, dan pulang ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudu', dan, berjalan menuju masjid.

Dlm perjalanan ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yg sama! Dia, sekali lagi, bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Dirumah, dia, sekali lagi berganti baju, berwudu' dan berjalan lagi menuju masjid.

Di tengah jalan menuju masjid, dia bertemu seorang lelaki yg memegang lampu. Dia menyapa lalu lelaki itu menjawab "Saya melihat kamu jatuh 2 kali di perjalanan menuju masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan kamu.' Lelaki muda mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid.

Saat sampai di masjid, lelaki muda itu mengajak teman barunya yang membawa lampu untuk masuk bersolat subuh bersamanya. Lelaki tadi menolak. Berkali-kali diajak tetapi jawapannya sama.

Lelaki muda bertanya, kenapa menolak untuk masuk bersolat. Lelaki pembawa lampu menjawab:

AKU ADALAH SYAITAN !

Lelaki muda itu sungguh terkejut..!

Syaitan menjelaskan, ''Saya melihat kamu berjalan ke masjid,dan sayalah yg membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah mengampunkan semua dosamu. Saya membuatmu jatuh kedua kalinya, dan itupun tidak membuatmu merubah fikiran tetapi tetap kembali ke masjid.

Kerana itu, Allah mengampunkan dosa seluruh keluargamu. Saya KHUATIR jika saya membuatmu jatuh ketiga kalinya, mungkin Allah akan mengampunkan dosa seluruh penduduk desamu, jadi saya harus memastikan bahwa kamu sampai dimasjid dgn selamat..'

MORAL :

Jangan abaikan suatu niat baik yg kita mahu lakukan, kerana kita tidak pernah tahu ganjaran yg bakal kita perolehi dari segala kesulitan yg kita hadapi demi melaksanakan niat baik tersebut .


Di petik dari seorang sahabat dalam facebook..

Thursday, April 26, 2012

Tabiat Jalan Dakwah



Merupakan suatu jalan yang susah dan panjang

Memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat

Memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan

Kita hanya disuruh berusaha, tidak disuruh melihat hasil dan buahnya

Hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang dikehendaki-Nya

Akan berhadapan dengan gangguan dan penyeksaan daripada golongan taghut dan musuh-musuh Islam

Akan menerima tuduhan-tuduhan keji yang direka-reka.


          Sepanjang perjalanan, mesti ada :
  1.      Iman yang mendalam
  2.      Perancangan pembentukan gerakan yang rapi dan kemas
  3.      Usaha dan amal yang berterusan

Friday, April 20, 2012

Alahai sutera...

Hari ini tetiba riuh dengan persoalan pemakaian sutera. Ada cadangan untuk menempah baju batik sutera sebagai pakaian rasmi ke sekolah. Sebelum itu, perlu kita memahami beberapa perkara berkaitan sutera ini. Untuk orang perempuan memang tiada halangan untuk memakainya. Itulah keistimewaan yang dikurniakan kepada orang perempuan. Begitu juga dengan pemakaian emas dikalangan warga hawa.


Walaubagaimanpun, untuk orang lelaki, memang ada hukum yang tersendiri. Emas dan sutera memang diharamkan oleh Allah untuk dipakai. Sebagaimana dalam satu hadis nabi s.a.w pernah diriwayatkan :


"Sesungguhnya Nabi saw mengambil sekeping kain sutera disebelah tangan kanannya dan emas disebelah tangan kirinya kemudian bersabda : 'sesungguhnya dua benda ini diharamkan keatas kaum lelaki dari umatku" - [Hadith riwayat Abu Daud, dikelaskan sebagai sahih oleh al-Albani]


Yang dimaksudkan oleh hadis ini adalah sutera yang asli, yang dibuat sepenuhnya oleh ulat (silkworm). Biasanya harga kain sutera asli ini agak mahal sedikit. 


Walaubagaimanapun, yang berada dipasaran yang lebih murah itu biasanya bukan kain sutera asli. Ianya adalah kain sutera tiruan atau juga dikenali synthetic silk. Ada juga kain campuran beberapa peratus dengan sutera. 



Menurut bekas pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar :-

الحرير الذى وردت فيه النصوص هو الحرير الطبيعى المأخوذ من دودة القز، أما الحرير الصناعى فيشبهه فى النعومة ولكن لا يأخذ حكمه
"Sutera yang bahannya datang dari sutera asli diambil dari ulat sutera, maka bagi sutera tiruan yang serupa dengan kelembutan sutera asli, akan tetapi tidak mengambil hukumnya"


Sutera yang tiruan tidak dikira hukum sebagaimana sutera yang asli, tidak haram. hukumnya harus.



Thursday, November 3, 2011

Jamaah Al-Muslimin; Suatu Penjelasan

Ku teliti satu persatu helaian buku daripada pusat penyelidikan UIAM, karangan Dr Jamil Hashim dan Dr Sulaiman Ibrahim ini. memang banyak manfaatnya bagi orang-orang yang ingin mencari suatu pegangan. Ulasan yang dikemukakan berbentuk ilmiah dan akademik dengan menampilkan pendapat-pendapat ulamak; baik ulamak bersifat haraki dan bukan haraki. Apa-apa pun pendapat ulamak ini adalah rahmat kepada umat Islam jika sekiranya kita mengambil pendirian menghormati pendapat semua mereka ini. Walaubagaimanapun, kita akui ulamak juga tidak terkecuali daripada membuat kesilapan. Mungkin pendapatnya hari ini amat berbeza dengan pendapatnya pada 2,3 tahun yang lepas. Semuanya bergantung kepada situasi semasa umat Islam. Buku yang saya baca ini bertajuk “Konsep Jamaah Al-Muslimin Dalam Pemikiran Islam”.

Isu jamaah dan jamaah al-muslimin ini adalah isu bersifat semasa dan kontemporari dalam medan dakwah Islamiyyah yang banyak mengundang polemik antara para pendakwah. Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri berkaitan konsep jamaah dan jamaah al-muslimin yang mungkin tidak disenangi dan dipersetujui oleh kumpulan lain sehingga menimbulkan keresahan dikalangan warga pendakwah. Antara istilah yang mengundang kepada perkelahian antara para pendukung dakwah adalah seperti istilah jamaah itu sendiri, konsep al-firqah al-najiyah dan al-taifah al-qaimah. Masing-masing setiap kumpulan mendakwa merekalah yang menepati ciri-ciri tersebut dan disinilah memungkinkan berlakunya sedikit kekeruhan antara para pendukung dakwah.

Al-firqah al-najiyah bermaksud kumpulan atau puak atau mazhab yang berjaya di sisi Allah s.w.t di akhirat nanti. Asas kepada kefahaman ini adalah bersumber pada hadis Rasul s.a.w. (al-Tirmizi,kitab al-iman,bersifat hasan gharib) bersabda “sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada 72 agama,manakala umatku akan berpecah kepada 73 agama, semuanya akan masuk neraka kecuali satu. Mereka bertanya,siapa ya Rasulullah? Baginda bersabda; iaitu yang berada atas ajaran aku dan para sahabatku.” Dalam hadis yang seumpama,dikatakan akan berpecah kepada 73 kumpulan. Semuanya ke neraka kecuali satu; iaitu jamaah.

Al-Taifah al-qaimah atau al-taifah al-mansurah adalah merujuk kepada hadis Rasul s.a.w yang mana bersabda,”Selama-lamanya akan ada suatu kumpulan daripada umatku yang bangkit menegakkan urusan Allah (agama Allah). Mereka tidak akan dimudharatkan oleh orang yang menghina mereka atau menentang mereka sehingga datang perintah Allah sedangkan mereka dalam keadaan zahir atas manusia.” (Al-Muslim,Al-imarah.Ahmad,musnad al-syamiyyin).

Setelah meneliti perbahasan,penulis telah menyimpulkan beberapa perkara. Antaranya:

  1. Maksud al-firqah al-najiyah,taifah mansurah dan jamaah ialah umat Islam seluruhnya yang berpegang dengan sunnah Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda r.a. Mereka juga digelar Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  2. Segala kumpulan-kumpulan umat Islam sekarang termasuklah jamaah-jamaah Islam, harakah dan gerakan Islam, tariqat-tariqat sufiyyah, parti-parti Islam adalah termasuk dalam rumpun keluarga Ahli Sunnah Wal Jamaah. Setiap kumpulan ini tidak boleh mendakwa mereka adalah firqah najiyah atau taifah mansurah atau al-jamaah yang dimaksudkan hadis. Semua umat Islam yang tidak menyertai mana-mana kumpulan ini tetapi berpegang teguh dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah seorang muslim dan tetap menjadi anggota firqah najiyah atau taifah mansurah atau al-jamaah yang dimaksudkan hadis.
  3. Ahli Sunnah Wal Jamaah atau firqah najiyah, taifah mansurah dan al-jamaah adalah suatu manhaj aqidah, syariat dan akhlak. Mereka bukannya kumpulan tertentu dengan nama tertentu, di tempat atau negeri tertentu.

Sunday, October 16, 2011

Antara Fatwa Kebangsaan Yang Menarik

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan

Keputusan:

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.
  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan dapatan daripada kajian awal yang dikemukakan, fakta yang menunjukkan bahawa tarian poco-poco yang dipraktikkan di Malaysia mempunyai kaitan secara langsung dengan ritual penganut agama Kristian masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya dan kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan fakta sebenar asal usul tarian tersebut. Walaupun demikian, Muzakarah mengambil perhatian dan menghormati keputusan pengharaman tarian poco-poco yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
  2. Sehubungan itu, bagi memastikan apa jua bentuk tarian sama ada poco-poco atau sebagainya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, Muzakarah memutuskan supaya sebarang bentuk tarian yang dilakukan hendaklah merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang telah diputuskan sejak tahun 2007 seperti berikut, antaranya:
  • Berpakaian menutup aurat, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;
  • Gerak tari yang disembahkan tidak menimbulkan fitnah;
  • Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah;
  • Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan agama bukan Islam; dan
  • Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.”

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran Semata-Mata

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 Sep 2000 telah membincangkan Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran Semata-Mata. Muzakarah telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada/duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan.